DOA PERSARAAN PENGETUA CEMERLANG
SEKOLAH MENENGAH VOKASIONAL SERI MANJUNG
1 SEPTEMBER 2010
Ya Allah Ya Rahman, Ya Rahim… Ya Sohibal Wakt….
Duhai Tuhan Yang Maha Pengasih Penyayang dan Tuhan Pemilik Segala Waktu..
Terasa benar akan kasih sayang Mu Tuhan, di atas limpahan terlaksana Majlis Perpisahan Yang Berusaha Tuan Pengetua Siti Arfah Bt Ibrahim pada hari ini.
Dikaulah Tuhan Maha Pemberi, Maha Penganugerah, terhadiahlah segala janji dari Mu buat mereka yang terpimpin dengan ilmu berhemah dan qudwah hasanah, menampuk kuasa sebagai amanah daripada Mu Ya Allah..
Lantaran Dari itu ya Allah, jadikan jasa-jasa yang telah tertunai selama hari semalam sebagai obor cahaya dan pahala di hari esok, biar ianya mampu menyirna di alam syahadah, jua mampu berkelip sebagai kerdipan sinar di alam akhirah. Semoga simbahan keringat di gelanggang fana ini akan menjadi buah manis dalam Firdausi Mu Ya Allah . Mudah-mudahan kelincahan mengemudi di layar baru, mampu mengolah kejayaan dan kegemilangan demi sebuah kehidupan yang bermaruah..
Ya Allah Ya Sohibal Jaza’…. Duhai Tuhan Tuan Punya Hari Pembalasan..
Dari celahan ruangan yang Dikau kurniakan buat kami di kemuliaan hari ini, dalam lafaz syahdu, kami mengungkapkan puji syukur, malah hanya lautan terima kasih yang mampu kami sembahkan di atas silauan mutiara kepimpinan yang telah dizahirkan buat kami semua.
Semoga Dikau Ya Allah, selepas daripada hari dan masa ini agar terus melebarkan jalan ketenangan, melonggokkan timbunan kejayaan, membersihkan sisa-sisa kedukaan bahkan jua Ya Allah kami mohon Dikau permudahkan segala urusan di hari-hari muka Yang Berusaha Tuan Pengetua kami ini..
Ya Allah, hanya pada Mu kami menyembah dan padaMu jua kami meminta, jadikanlah idea, tenaga, pengorbanan dan segala bakti suci yang telah dicurahkan oleh Pengetua Cemerlang kami selama ini sebagai amal-amal yang mendapat keredhaan dan ganjaran dariMu Ya Allah.
Sesungguhnya sumbangan tersebut telah menaikkan imej dan nama sekolah kami pada kacamata Kementerian Pelajaran Malaysia khasnya dan masyarakat amnya . Kami mohonkan jua kepadaMu agar pengganti Pengetua Cemerlang kami ini nanti akan meneruskan kecemerlangan sekolah kami di masa-masa yang akan datang.
Ya Allah Ya Awwalu wal Akhiru…. Duhai Tuhan yang Tiada Awal dan Tiada Akhir… Semoga di awali pertemuan kami dalam Majlis Persaraan hari ini dengan kerahmatan dan keberkatanMu. Alangkah indahnya juga kemaafan sesama kami beserta keampunan Mu menjadi babak akhir mengiringi perpisahan hari ini .
Fakir Ilallah:
Abu Fatahillah